Loading...
Tuesday, August 5, 2014

Dipaksa Jatuh Talak Apa Hukumnya?

Dipaksa jatuh talak apa hukumnya?
Apakah hukumnya jika seorang lelaki dipaksa menjatuhkan talak kepada isterinya untuk mengelak dirinya daripada dipukul serta diserang?

Jika lelaki itu melafazkan talak kepada isteri, adakah jatuh talak itu? Soalan kedua, jika seorang lelaki memadukan isteri dengan mengambil saudara susuan si isteri sebagai isteri barunya, adakah pernikahan itu sah?

Jika tidak sah, adakah suami harus menceraikan kedua-duanya?

Atau adakah pernikahan kedua-dua isteri itu terbatal secara automatik? Mohon penjelasan.

-----------

Perceraian adalah perkara yang amat diberati syarak sehingga ia menjadi sebenci-benci perkara di sisi Allah SWT.

Islam mengatur hukum perceraian dengan teratur dan jelas supaya suami dan isteri dapat menjalani kehidupan berumah tangga dengan tenang dan tanpa sebarang keraguan.

Malangnya, ramai dalam kalangan pasangan suami isteri tidak mengambil berat hukum-hakam berkait dengan perceraian sehingga ada yang masih tinggal bersama dan melahirkan anak, walaupun hakikatnya mereka bercerai talak tiga.

Akibat kejahilan itu, keturunan mereka menjadi celaru dan rosak.

Perlu diketahui bahawa sesuatu perceraian itu hendaklah memenuhi rukun talak dan berdasarkan jumhur ulama Mazhab Syafie, salah satu rukun talak ialah suami hendaklah sengaja melafazkan talak itu serta bebas daripada unsur-unsur paksaan yang bersifat `tidak boleh dielakkan' seperti ancaman nyawa dan kehilangan harta benda.

Jika talak itu dilafazkan dalam keadaan sedemikian, tidak jatuh talak. Tetapi jika paksaan itu bersifat `boleh dielakkan', maka akan jatuh talak.

Bagi menjawab soalan puan, perkara-perkara yang disebutkan tadi perlu dikenal pasti daripada kejadian yang berlaku.

Namun, suka saya ingatkan bahawa proses pengesahan cerai yang berlaku di luar mahkamah dalam keadaan apa sekalipun hendaklah dilaporkan ke Mahkamah Syariah untuk siasatan dan pengesahan.

Berkenaan dengan persoalan kedua, hukum perkahwinan sedemikian adalah tidak sah kerana adik beradik susuan isteri adalah dikira sebagai mahram yang mana ikatan mahram wujud dengan tiga sebab iaitu

1. Kekeluargaan

2. Perkahwinan

3. Penyusuan


Oleh kerana perkahwinan itu tidak sah maka tidak perlu kepada lafaz cerai dan pasangan itu perlu difarakkan saja.

Jika perkahwinan sedemikian sudah didaftar di pejabat agama dan kemudiannya baru disedari wujudnya hubungan susuan ini, maka untuk membolehkan pendaftaran itu dibatalkan, kes itu perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah bagi mendapatkan perintah farak nikah.

Pernikahan dengan isteri yang pertama adalah tidak terjejas dan tidak terbatal akibat pernikahan fasid itu.


www.panduansuamisteri.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 
TOP