Loading...
Monday, September 15, 2014

Bicara Kahwin Di Usia Muda


Kahwin usia muda


Berkahwin ketika belajar sudah menjadi lumrah termasuk yang menuntut di luar negara. Mungkin indah dibayangkan, namun pasangan perlu mempersiapkan diri dalam segala aspek.

Segala persiapan berkaitan dokumen perlu diselesaikan sendirian, selain sukar mengimpikan majlis gilang-gemilang kerana jauh daripadaikeluarga dan perlu mengurus banyak perkara, khususnya mendapatkan kebenaran berkahwin di luar daerah.

Keistimewaan lain mungkin kehidupan pelajar lebih teratur apabila masing-masing saling berkongsi tanggung jawab menyuntik semangat untuk cemerlang dalam pengajian.

Bagi pasangan Mohd Haniff Kasuan dan isterinya, Naddia Md Azizis masing-masing 35 tahun, disatukan di Jabatan Penuntut Malaysia Chicago, Amerika Syarikat ketika menuntut di Universiti Purdue, West Lafayette, Indiana, pada 14 Februari 1999, pula beranggapan berkahwin muda bukan alasan untuk tidak mencapai keputusan cemerlang dalam pengajian.

Katanya, bernikah pada usia muda, membuatkan beliau dan pasangannya lebih matang, bersedia memikul tanggungjawab dan semakin bijak menjaga batas pergaulan.

"Itulah keistimewaan yang dirasai khususnya mereka yang berkahwin ketika belajar. Kami juga saling bantu-membantu ketika membuat ulang kaji, emosi lebih stabil berbanding sebelum berkahwin dan keluar berdua-duaan pada hujung minggu, sekali gus mengurangkan tekanan pembelajaran di sana," katanya kepada FAMILI, baru-baru ini.

Beliau yang kini bertugas sebagai pengurus pembangunan perniagaan di sebuah syarikat minyak dan gas, berkata beliau berkenalan dengan isterinya ketika mengikuti program persediaan di tempat sama, iaitu di Irvine, California sebelum menerusi pengajian di Universiti Purdue, Amerika Syarikat pada Ogos 1997.

Sudah jodoh

 
Mohd Haniff adalah penuntut kejuruteraan mekanikal manakala isterinya pelajar jurusan perniagaan. Kedua-duanya tajaan syarikat minyak dan gas tempatan yang mengikuti program American Top Universities (ATU).

Ketika pernikahan mereka, ada dua lagi pasangan dari Malaysia yang menuntut di universiti berlainan.

"Saya berdua saja di universiti sama. Mungkin sudah sampai jodoh, jadi pelawaan daripada Jabatan Penuntut Malaysia Chicago untuk menyatukan pasangan dari Malaysia disambut baik.

"Selepas berkahwin kami tinggal bersama dan aktiviti pengajian berjalan seperti biasa. Pada musim cuti semester (musim bunga) kami berbulan madu di Paris," katanya kepada FAMILI, baru-baru ini.

Mereka dikurniakan tiga cahaya iaitu Nornajli Qistina, 11; Aish Iskandar, 9 dan Najla Qaisara, 6.

Luang masa ketika bercuti


Bercerita lanjut, Mohd Haniff berkata, prosedur yang harus dilalui ialah untuk mendapatkan dokumen dan kebenaran perkahwinan.

"Urusan perkahwinan saya diuruskan keluarga, di Petaling Jaya dan Muar, Johor dan kemudian diposkan kepada kami dalam tempoh kira-kira sebulan sebelum ijab kabul disempurnakan oleh jurunikah Malaysia yang bertauliah di Amerika Syarikat," katanya.

Katanya, ketika memberitahu keluarga hasrat berkahwin, keluarga kedua-dua pihak pada mula kurang bersetuju kerana usia mereka terlalu muda, bagaimana kemudian tidak membantah kerana menganggap jodoh sudah sampai.

"Sebenarnya sama saja, di mana juga kita berkahwin. Saya juga membayar mas kahwin sebanyak RM80 dan perkahwinan kami perlu disahkan di Malaysia dalam tempoh enam bulan selepas sekembali kami ke tanah air.

"Oleh kerana masih belajar, kami merancang untuk tidak memiliki anak secara sementara kerana tidak mahu mengganggu tumpuan terhadap pengajian lebihlebih lagi berada jauh daripada keluarga," katanya.

Beliau berkata, sebaik berkahwin, mereka ke rumah kelamin yang disediakan oleh pihak universiti dan kos hidup masih lagi sama seperti kehidupan bujang.

"Saya akui kahwin cabaran kahwin pada usia muda agak besar, namun kami sentiasa bersikap toleransi dan saling bekerjasama. Perkahwinan bukan saja penyatuan suami isteri tetapi membina hubungan kukuh kedua-dua belah keluarga.

"Meskipun, kebanyakan rakan lain lebih suka tunggu hingga tamat pengajian, selain mendapat persetujuan keluarga, kami gembira berkahwin awal kerana pasangan sentiasa di sisi ketika susah dan senang," katanya.

Beliau dan isterinya menamatkan pengajian pada 2001 dan kembali ke Malaysia dan sering bercuti bersama bagi meraikan ulang tahun perkahwinan.

JAWI terima 200 permohonan setiap tahun

Penolong Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Zainudin Wan Yusoff, berkata pihaknya menerima sekurang-kurangnya 200 permohonan setiap tahun.

Bagi tahun lalu saja, sebanyak 233 permohonan untuk kebenaran berkahwin di luar negara manakala pada tempoh sama, 177 pendaftaran perkahwinan.

Statistik permohonan perkahwinan di luar negara pula sebanyak 236 dan pendaftaran semula 174 kes dicatatkan pada 2011.

Surat kebenaran


Pada 2012 pula seramai 222 permohonan berkahwin di luar negara, manakala permohonan semula sebanyak 184.

Katanya, prosedur rakyat Malaysia berkahwin di luar negara, pemohon perlu hadir ke Kedutaan Malaysia di negara tempat mereka berada bagi memperoleh surat kebenaran berkahwin di luar negara.

"Selepas mendapat pengesahan daripada kedutaan, pemohon perlu menghantar surat berkenaan dan dokumen yang diperlukan ke pejabat agama tempat tinggal pasangan pemohon.

"Kemudian, pasangan hendak mendaftarkan perkahwinan terbabit di jabatan agama negeri dalam tempoh enam bulan daripada tarikh pulang ke Malaysia bagi mengelakkan didenda atau sebagainya," katanya dalam satu kenyataan kepada FAMILI.

Beliau menjelaskan Indonesia antara negara yang popular pasangan berkahwin ketika belajar di pusat pengajian tinggi atau bekerja di negara mereka bertugas.

Mohd Zainudin berkata, sekembalinya pasangan itu ke Malaysia, mereka akan memperoleh surat perakuan nikah selepas jabatan agama negeri berpuas hati dengan soal selidik yang dilakukan Bahagian Pendaftaran, Perceraian dan Rujuk.

Didenda tidak patuh syarat

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata perkahwinan di luar negara tanpa kebenaran tetap mematuhi hukum syarak.

"Bagaimanapun ia tidak mematuhi perundangan negara dan pasangan itu boleh dikenakan hukuman denda. Mengikut perundangan seksyen 12 (2) yang dibacakan bersama seksyen 40 (2) memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk mengenakan denda kepada pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa kebenaran dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau keduanya sekali," katanya.
~ BH ~


www.panduansuamisteri.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 
TOP