Loading...
Wednesday, June 25, 2014

Isteri Terseksa Suami Ketagih Cerut


Isteri terseksa suami ketagih cerut

“Ini semua bahana cerut import dari Cuba. Akibatnya, saya dan anak-anak terpaksa ‘mengikat perut’ kerana tidak mempunyai wang dan terpaksa mencari pendapatan lain berikutan suami terlalu taasub dengan hobi peliknya yang ketagih menghisap cerut berjenama luar negara.

“Dulu, hidup kami sekeluarga bahagia, tidak perlu fikir pasal wang kerana semuanya lengkap. Suami pula ketika itu bertanggungjawab menyediakan segala kelengkapan rumah, namun semua itu tidak bertahan lama selepas dia mula ketagih cerut mahal,” katanya.

Begitu luahan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Sara, 30, yang terpaksa berniaga kecil kecilan untuk mengisi perutnya dan dua anak akibat kegilaan suaminya itu.

Menurutnya, dia terpaksa menjual nasi lemak serta mengambil tempahan masakan semata-mata untuk menampung perbelanjaan harian mereka selepas suaminya tidak lagi memberi nafkah wang ringgit kepadanya.

Dia berkata, sudah puas dia serta keluarga menasihatkan suaminya itu berhubung tabiat pelik lelaki berkenaan, namun segala usaha menemui jalan buntu.

“Sudah tiga tahun saya terpaksa berdepan dengan masalah ini, habis semua barang kemas terpaksa digadai kerana tabiat pelik suami membeli cerut berjenama dari luar negara yang berharga antara RM700 sehingga ada yang mencecah RM2,000 sekotak.

“Biasanya, orang hisap cerut boleh tahan lama, namun lain pula yang berlaku pada suami. Dia menghisap cerut seperti rokok dan akan membeli stok cerut setiap bulan serta berhabis duit sekitar RM2,500 dengan pelbagai jenama yang dipesan menerusi Internet,” katanya.

Menceritakan ketagihan suaminya, Sara berkata, semuanya berpunca selepas suaminya itu mula rapat dengan rakan pejabatnya yang turut menghisap cerut dan ketika itu, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana sebelum itu, suaminya memang seorang perokok.

Katanya, pada peringkat awal, dia menyangka hobi suaminya itu sekadar untuk melepaskan tekanan kerja, namun sangkaan itu ternyata meleset selepas hobi suaminya semakin kritikal sehingga sanggup membeli pelbagai cerut berjenama dengan harga ribuan ringgit.

Menurutnya, keadaan tambah teruk pada tahun lalu apabila suaminya itu tidak lagi memberikan wang perbelanjaan kepadanya, malah barangan keperluan dapur turut diabaikan semata-mata ingin memenuhi ketagihannya dalam membeli cerut.

“Sudah kering air mata saya menangis mengenangkan nasib diri dan anak-anak. Malah, pernah juga mengadu kepada keluarga berhubung perangai buruk suami dan ibu bapa mentua ada menasihatkan anak mereka itu, namun tiada sebarang perubahan yang berlaku dan suami terus dengan kegilaannya melabur duit membeli cerut.

“Puas saya dan keluarga nasihatkan, kadang-kadang saya fikir bukan soal duit yang sering menjadi masalah tetapi soal kesihatan suami. Saya masih sayangkan dia tetapi jika keadaan terus begini mungkin saya akan mengambil jalan keluar,” katanya.

Katanya, dia ada terfikir untuk menuntut fasakh dengan suaminya, namun setakat ini, dia masih memikirkan lagi tindakannya itu serta kesannya kepada anak-anak jika dia dan suaminya membawa haluan masing-masing. [
Metro]

www.panduansuamisteri.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 
TOP